Sewaktu aku sedang beristirehat di sebuah kedai yang terletak di Empayar Poyos, tiba tiba beberapa kesatria berkuda yang poyo datang menemuiku. Mereka membawa satu utusan dari istana untukku. Dengan sukacitanya aku pun mengambil utusan itu, lalu membacanya. Di dalam utusan itu tertulis begini:
KOD MISI : KORBAN DARA
OBJEKTIF : Menangkap kesemua ahli sihir Lurah Dendam
Kepada Hulubalang Poyos,
Sepurnama lagi, ahli ahli sihir Lurah Dendam akan mengadakan satu upacara pemujaan tahunan dan akan mengorbankan anak anak dara sunti. Kau dikehendaki menangkap semua ahli sihir di Lurah Dendam itu untuk dibawa ke muka pengadilan. Kau memerlukan beberapa Aura Santau yang akan digunakan sebagai kuasa untuk menumpaskan ahli ahli sihir tersebut. Kau juga hendaklah khatamkan Kitab Fansuri kerana didalam kitab fansuri itu terdapat kalimah kalimah yang mampu meneutralkan dan mematahkan sihir ahli ahli sihir Lurah Dendam itu. Kau juga harus membawa beberapa duit perak dan tembaga untuk digunakan sebagai umpan kerana ahli ahli sihir itu hanya akan menampakkan diri mereka apabila dua jenis duit tersebut dicampak ke tanah. Jangan lupa bawa beberapa bekalan makan dan ubat untuk menjana tenaga kau. Semoga berjaya Hulubalang Poyos, nasib anak anak dara sunti Lurah Dendam terletak ditangan kau.
Yang benar,
Atok Nujum Poyo Giler
(Pemerintah Empayar Poyos)
Dengan tidak berlengah lagi, aku terus menghubungi kesemua jaguh handalan Empayar Poyos untuk pergi berjuang bersamaku. Aku mengadakan satu perjumpaan tergempar bersama mereka. Kami bersetuju untuk pergi ke Lurah Dendam dalam tiga hari lagi. Aku mengarahkan mereka bertapa selama yang mungkin sebagai persediaan untuk menghadapi ahli ahli sihir Lurah Dendam serta membawa segala kelangkapan dan keperluan untuk menghadapi segala cabaran dan rintangan yang bakal mereka tempuhi.
Setelah perjumpaan itu selesai, aku pun membeli barang barang yang perlu digunakan untuk menyelesaikan misi ini. Aku membeli berberapa tiub tonik jambu kecil, sengat jengking, aura santau, kitab fansuri, duit perak & tembaga. Sesudah aku sampai di tempat pertapaanku, aku pun menghatamkan kitab fansuri yang baru kumiliki tadi.
Hari yang ditunggu tunggu telah pun tiba, aku pun berangkat bersama kesemua jaguh handalan Empayar Poyos menuju ke Lurah Dendam. Setibanya aku disitu, aku terus mencampakkan duit perak dan tembaga ke tanah, lalu muncul beberapa ahli sihir jahat. Dengan aura dalaman yang ada iaitu aura santau, aku berjaya mematahkan sihir si ahli sihir dan menangkapnya. Walaupun berada 100 batu dari Lurah Dendam, rakyat Empayar Poyos tetap tidak terlelak merasakan gegaran akibat pertempuran kami di Lurah Dendam. Kesemua benda termasuk benda benda hidup yang berada dalam lingkungan 1 batu dari medan pertempuran didapati hancur berkecai akibat terkena serpihan kuasa yang terhasil dari pertempuran ini.
Aku pun mencampakkan lagi duit perak dan tembaga ke tanah. Seperti biasa, ahli sihir yang durjana pun muncul. Dengan menggunakan ilmu hitam, aku disihir oleh ahli sihir durjana itu. Aku tidak dapat bergerak, lalu aku pun membaca kalimah kalimah dari Kitab Fansuri yang telah aku khatamkan itu, badanku mula boleh bergerak semula. Belum sempat aku menyusun nafasku semula, aku disihir lagi. Meskipun begitu, aku dengan tenangnya merungkai sihir ahli sihir tersebut.
Pertempuran ini telahpun berterusan selama sehari. Aku terlalu penat, jaguh jaguh handalan yang berjuang bersamaku turut keletihan. Aku mengarahkan mereka berehat sebentar. Aku pula berehat sebentar bersama tonik jambu kecil yang aku bawa bersama. Aku pun terus minum kesemua tonik itu dan didapati tenagaku semakin pulih. Aku meneruskan perjuanganku. Dalam pertempuran ini, aku berjaya menjumpai beberapa permata. Namun begitu, permata aku juga tetap tidak terelak dari dicuri oleh ahli sihir. Aura santau aku juga diserap oleh ahli sihir.
Aku kehabisan tenaga lagi, tonik jambu kecil yang aku bawa telah habis diminum olehku sebelum ini, jadi aku pun menggunakan bekalan lain yang ada. Aku pun memakan beberapa sengat jengking. Tenaga aku didapati pulih dan semangat juang aku melonjak secara tiba tiba. Aku pun terus menangkap beberapa lagi ahli sihir. Dalam pertempuran ini, beberapa jaguh handalan yang berjuang bersamaku berjaya mendapatkan aku Tongkat Tok Burut yang dicicirkan oleh ahli ahli sihir kejam ini.
Setelah dua hari pertempuran berlangsung, akhirnya aku dan jaguh jaguh handalan Empayar Poyos berjaya menangkap kesemua ahli ahli sihir durjana ini. Aku pun pulang menuju ke Istana Empayar Poyos untuk membawa ahli ahli sihir durjana ini ke muka pengadilan.
Dengan selesainya misi ini, aku dianugerahkan 2 butir permata, 1 Kerawan Cahaya, dan mendapat pingat khas yang membawa gelaran PEGAMAN KOTA. Kini, anak anak dara sunti di Lurah Dendam sudah tidak lagi merasakan ketakutan, seluruh rakyat Empayar Poyos pula dapat menikmati hidup yang aman buat ketika ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment